Wednesday, October 7, 2009

Rancangan Mengajar &Slide Kolaboratif

Racangan Mengajar ICT ( klik SINI )

Tuesday, October 6, 2009

Pengaruh Behavioris, kognitif , konstruktivisme dan kontektual dalam pembangunan sesuatu koswer.

Behavioris.

Teori behavioris diperkenalkan oleh aliran Mazhab Behavioris. Pendokong teori ini berpendapat bahawa pembelajaran merupakan perubahan dalam tingkahlaku. Perubahan yang dimaksudkan disini ialah cara seseorang bertindak dalam sesuatu situasi. Mereka berpendapat perubahan tingkahlaku yang berlaku dalam diri seseorang individu berpunca daripada pengalaman. Teori ini mengaitkan pembelajaran sebagai hasil tindakbalas pelajar dengan rangsangan luar yang diperolehi dalam suasana pembelajaran dan pengajaran. Fokus utama disini ialah perubahan tingkah laku yang nyata dan dapat diperhatikan.

Sebagai contoh kebanyakkan perisian pembelajaran ataupun koswer yang dibangunkan mempunyai penerapan unsur-unsur behavioris. Paling jelas ialah bagaimana keupayaan koswer ini mengubah tingkahlaku pelajar daripada keadaan tidak tahu atau tidak memahami kepada mengetahui atau memahami konsep yang terdapat di dalam sesuatu matapelajaran contohnya matapelajaran ICT. Contohnya topik multimedia. Pada bahagian awal dinyatakan objektif yang perlu dikuasai setelah berakhirnya sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Kemudian dinyatakan apakah yang dikatakan multimedia. Apakah elemen-elemen yang perlu ada untuk membentuk konsep multimedia. Persembahan koswer ini juga bersifat non-linera, dimana pelajar boleh mengulangkaji berulangkali dan mendapatkan maklumat mengikut kemahuan mereka sendiri. Disini wujudnya pembelajaran yang bermakna. Pengulangan merupakan satu konsep yang penting dalam Teori Behavioris. Proses pengulangan membantu pelajar memahami sesuatu konsep dengan lebih jelas. Mazhab ini juga berpandangan bahawa pembelajaran merupakan suatu latihan. Latihan diperlukan untuk membentuk kebiasaan ataupun tingkahlaku yang berkekalan. Menurut Kamarudin & Siti Hajar, 2004 penggunaaan bahan-bahan sokongan, contoh-contoh yang jelas dan rancangan pembelajaran yang menarik dan berkesan perlu disediakan untuk mendapatkan kesan rangsangan gerak balas yang sempurna. Jika dilihat keseluruhan koswer pebmelajaran yang dibangunkan mempunyai ciri-ciri ini. Setiap koswer mempunyai latihan untuk menguji pemahaman pelajar terhadap topik yang dipelajari. Setiap jawapan yang diberikan oleh pelajar akan mendapat maklum balas yang positif daripada koswer tersebut. Ini dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk mengikuti pembelajaran seterusnya dan juga mengulangkaji semula pelajaran yang sedang diikuti andainya mereka belum menguasai pembelajaran tersebut. Ganjaran yanng diberi dapat mengekalkan minat pelajar untuk belajar.
Kognitivis.

Teori kognitivis memberi lebih tumpuan kepada aspek pemikiran pelajar. Setiap individu mempunyai kebolehan mental untuk mengelola, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pembelajaran untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Mengikut pendokong teori ini, pembelajaran ialah satu proses dalaman dan tidak dapat diperhatikan secara langsung. Melalui pembelajaran perubahan tingkahlaku seseorang dapat diperhatikan. Perubahan tingkahlaku ini secara tidak langsung menggambarkan perubahan dalaman yang sukar diperhatikan seperti pengetahuan, perasaan,, harapan dan juga pemikiran.

Jika diperhatikan, kebanyakkan koswer pembelajaran banyak menerapkan unsur-unsur kognitif. Contohnya setiap koswer diatur susun mengikut bahagian-bahagian tertentu seperti pendahuluan, isi kandungan, latihan dan sebagainya. Dalam koswer pembelajaran ICT, tajuk multimedia dimulai dengan pendahuluan. Ianya bertindak sebagai set induksi kepada topik tersebut. Dalam bahagian ini terdapat perkaitan pengetahuan sedia ada pelajar dengan apa yang akan dipelajari. Situasi ini membantu pelajar membina proses mental untuk menguasai sesuatu isi pembelajaran yang akan disampaikan. Kebanyakkan koswer pembelajaran juga mengabungkan pelbagai elemen multimedia. Penggunaan elemen multimedia ini dapat membantu pelajar menstrukturkan pengetahuan dan seterusnya memahami isi pengajaran yang akan disampaikan. Koswer pembelajaran juga dibangunkan untuk memudahkan pelajar membina konsep terhadap sesuatu isi pembelajaran yang akan diikuti. Isi pengajaran disusun daripada umum kepada khusus ataupun dengan kata lain daripada mudah kepada susah. Susunan sebegini dapat membantu meningkatkan pemahaman pelajar dan membantu pelajar menstrukturkan pengetahuan dengan lebih baik. Pelajar dapat membina pengetahuan secara berperingkat dan mengukuhkan pemahaman mereka. Selain itu koswer pembelajaran juga mempunyai rumusan diakhir setiap topik pembelajaran. Ia dapat membantu pelajar menstrukturkan maklumat supaya maklumat dapat disimpan dalam ingatan dan dicapai dengan mudah.
Konstruktivis.

Pandangan teori ini mengatakan bahawa ketika pembelajaran sedang berlaku pelajar belum dapat membina konsep. Apa yang berlaku ialah pelajar sedang aktif membina konsep mereka sendiri dan cuba mengubahsuai apa yang dipelajari mengikut realiti sebenar. Umumnya pelajar akan belajar melalui pengalaman yang diperolehi oleh mereka sendiri.

Menurut Jonassen (1991), pengetahuan seseorang individu berasaskan kepada persepsi fizikal dan pengalaman sosial yang difahami oleh akal seseorang. Menurut Perkins (1986), pula pengetahuan adalah terbina hasil daripada reka bentuk pelajar di dalam minda dimana pengetahuan dibentuk apabila pelajar terlibat secara aktif di dalam proses pembentukan pengetahuan dan bukan hanya menginterpretasi dan menerima apa yang diberikan kepada mereka.

Menurut Merrill (1992), terdapat beberapa andaian yang boleh dibuat terhadap konstruktivis iaitu:

1. Pengetahuan dibentuk melalui pengalaman.
2. Pembelajaran adalah interpretasi individu terhadap persekitarannya.
3. Pembelajaran adalah satu proses yang aktif yang dibina melalui pengalaman seseorang.
4. Perkembangan konsep dibentuk melalui perkongsian pandangan dan pembelajaran secara
kolaboratif.
5. Pembelajaran dibina di dalam situasi sebenar.
Kontekstual

Pembelajaran hanya akan berlaku jika pelajar dapat memproses maklumat atau pengetahuan baru yang dapat dikaitkan dengan persekitaran mereka. Pelajar akan dapat belajar dengan lebih berkesan jika persekitaran memberi makna dalam pembelajaran yang sedang berjalan.
Pembina akan memasukkan unsur-unsur persekitaran dalam binaan perisian supaya pengguna dapat menghubungkan pembelajaran mereka dengan persekitaran. Perisian ini menggunakan pendekatan pembelajaran kontekstual. Guru-guru atau pengguna akan menjalankan aktiviti membina grafik lukisan yang memerlukan pengguna menggunakan perkaitan benda hidup di persekitaran seperti pokok dan rama-rama.
Mengaitkan persekitaran tersebut akan memberi hasilan yang baik dan realistik seperti mewarnakan pokok serta rama-rama yang dilukis


Jika dilihat secara keseluruhan, unsur-unsur ini memang terdapat di dalam koswer pembelajaran. Pelajar membentuk pengetahuan melalui aktiviti yang dilakukan menggunakan koswer pembelajaran. Mereka membentuk interpretasi melalui persekitan pembelajaran yang diikuti melalui koswer pembelajaran yang dibangunkan.





ICT@MUNSHI © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates