Sunday, August 30, 2009

KOLABORATIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Pengenalan

Ilmu dan teknologi terutama teknologi informasi berkembang sangat pesat. Kemajuan teknologi maklumat ini telah meningkatkan penggunaan internet, laman web dan jaringan (networking) dalam pelbagai bidang. Pesatnya perkembangan teknologi ini ternampak juga pada pelbagai perubahan sosial budaya. Misalnya e-perniagaan merupakan perubahan radikal dalam aspek ekonomi masyarakat moden saat ini. Di sektor pemerintahan terdapat e-kerajaan. Demikian pula di sektor pendidikan sudah berkembang dengan apa yang dikenali sebagai e-pembelajaran (e-learning).

Umumnya e-pembelajaran merujuk kepada sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik sama ada menerusi Local Area Network (LAN), World Area Network (WAN) atau internet untuk menyampaikan isi kandungan, interaksi ataupun pemudahcaraan. Pengajaran boleh disampaikan secara synchronously (pada waktu yang sama) ataupun asynchronously (pada waktu yang berbeza). Menurut Learnframe (2001) bahan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan melalui media ini mempunyai teks, grafik, animasi dan simulasi, audio dan video. Ia juga menyediakan.

Kemudahan untuk perbincangan kumpulan (discussion group) dan bantuan profesional isi pelajaran secara dalam talian (on-line). Teknologi informasi tersebut telah meningkatkan interaksi antara tenaga pengajar dengan pelajar (Neuwirth dan Mojahn, 1996) serta menyenangkan perbincangan kelas di samping menukar cara interaksi antara pengajar dengan pelajar (Bonk dan King, 1995).

Pembelajaran secara kolaboratif telah menjadi satu metodologi dalam sistem pendidikan. Ia menggalakkan penglibatan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran. Semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran kolaboratif berjalan, interaksi berlaku di antara pelajar dengan bahan pengajaran, pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan pengajar. Schrage (1990) menyatakan pembelajaran kolaboratif melebihi aktiviti bekerjasama kerana ia melibatkan perkongsian hasil penemuan dan hasil pembelajaran baru. Menurut Jonassen (1996), pembelajaran secara kolaboratif dapat membantu pelajar membina pengetahuan yang lebih bermakna jika dibandingkan dengan pembelajaran secara individu. Dengan menjalankan aktiviti dan projek pembelajaran secara kolaboratif, kemahiran berkomunikasi akan dipelajari oleh pelajar.

Menurut Tinzmann et al. (1990), terdapat beberapa ciri utama dalam pembelajaran kolaboratif, iaitu:

i. Perkongsian ilmu pengetahuan di antara pengajar dan pelajar.

Dalam pengajaran dan pembelajaran traditional, peranan pengajar hanya menyalurkan pengetahuan seberapa banyak yang boleh kepada pelajar. Pengajar perlu mempunyai pengetahuan yang dalam tentang isi pelajaran dan mempunyai kemahiran serta menyalurkannya kepada pelajar. Dalam pembelajaran kolaboratif pula, pengajar perlu menilai dan membina satu persekitaran pengetahuan yang meliputi pengalaman individu, bahasa, strategi dan budaya yang boleh membawa pelajar kepada satu situasi pembelajaran yang efektif. Pelajar digalakkan berkongsi ilmu pengetahuan serta pengalaman pembelajaran serta strategi pembelajaran dengan pengajar serta pelajar lain.

ii. Perkongsian autoriti di antara pengajar dan pelajar.

Pembelajaran kolaboratif memerlukan perkongsian autoriti di antara pengajar dan pelajar. Autoriti dari perspektif pelajar bermaksud pelajar berhak memberi pendapat dalam proses membuat sesuatu keputusan. Manakala dari perspektif pengajar, pengajar berhak untuk menyediakan beberapa pilihan bagi tajuk tugasan dan aktiviti kelas yang sesuai dengan minat dan tahap pencapaian pelajar dan pelajar boleh membuat pilihan sendiri. Pengajar perlu mengalakkan pelajar mengaplikasikan apa yang telah dipelajari serta memastikan pelajar berkongsi pengetahuan dan strategi pembelajaran. Dengan itu, pelajar boleh belajar menerima pendapat pengajar atau pelajar lain dan membina kemahiran pemikiran kritis dan kreatif.

iii. Pengajar sebagai fasilitator

Dalam perkongsian pengetahuan dan autoriti di antara pengajar dan pelajar, pengajar berperanan sebagai fasilitator. Seorang fasilitator yang berjaya akan membantu pelajar menghubungkaitkan pembelajaran baru kepada pengalaman dan pembelajaran dalam bidang yang lain. Pengajar perlu menilai tahap informasi dan bantuan yang diberi untuk memaksimakan keupayaan pelajar untuk belajar.

Pembelajaran kolaboratif dalam sistem e-pembelajaran banyak digunakan dalam pembelajaran jarak jauh yang berasaskan internet. Pengaplikasian pembelajaran kolaboratif dalam sistem e-pembelajaran akan membentuk komuniti dalam talian seperti group chatting di kalangan pelajar berasaskan sistem pengurusan pembelajaran atau learning management system (LMS) yang dikenali sebagai MoodleTM. Perkataan Moodle merupakan singkatan bagi perkataan Modular Object-Oriented Dynamic Learning Environment. Sistem pengurusan pembelajaran (LMS) merupakan satu sistem perisian yang digunakan untuk mengakses pendidikan dalam talian. Antara fasiliti LMS yang telah digunakan secara meluas dalam web termasuklah forum perbincangan, chats dan journal. Manakala contoh aplikasi bagi LMS termasuk WebCT dan blackboard. Secara umumnya, LMS mempunyai dua kriteria yang utama, iaitu:

iv. Pelajar mempunyai kebebasan untuk belajar berdasarkan tahap penguasaan mereka.

Pengaplikasian e-pembelajaran dalam sistem pendidikan boleh diperlihatkan dari pelbagai aspek. Pengaplikasian e-pembelajaran telah menggantikan pembelajaran bersemuka (face-to-face) terutamanya dalam sistem pendidikan jarak jauh di mana pelajar mengakses bahan pembelajaran melalui web dan komunikasi dalam kelas digantikan dengan komunikasi berasaskan komputer sepenuhnya. Kajian telah menunjukkan terdapat peningkatan dalam prestasi pelajar berbanding dengan penyampaian pelajaran menerusi kuliah (Schutte, 1997; Zhang, 1998).

PENUTUP
e-pembelajaran yang berkonsepkan kolaboratif telah memberi banyak manfaat kepada masyarakat Malaysia dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya. Selain daripada itu, ia turut memberi implikasi positif kepada golongan guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka di dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun, implikasi ini hanya boleh dicapai sekiranya ia digunakan secara optimum dan berkesan. Oleh yang demikian, kerajaan perlu mewujudkan kesedaran kepentingan penggunaan portal kepada masyarakat umumnya dan para guru serta pelajar khususnya

1 comments:

alazeim@blogspot.com said...

Pembelajaran secara kolaboratif sangat bermakna kerana memberi ruang kepada pelajar untuk berkongsi pendapat dan pandangan, perkongsian secara maya terutamanya menjadikan pelajar lebih berani menyuarakan pendapat mereka tanpa sebarang halangan yang selama ini dihadapi.

Post a Comment

ICT@MUNSHI © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute
This template is brought to you by : allblogtools.com Blogger Templates